Dalam kemelut politik Malaysia yang berterusan sejak tahun lepas, negara memerlukan seorang tokoh yang dapat bukan sahaja menyelesaikan isu politik, tetapi juga krisis ekonomi dan kesihatan. Penganalisis, pemerhati termasuklah ahli-ahli politik tanah air ramai mula menyebut semula satu nama sebagai penyelamat keadaan yang semakin meruncing ini—Tengku Razaleigh Hamzah.

Pakar Geostrategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Azmi Hassan berpendapat, selain mempunyai pengalaman, Tengku Razaleigh, yang juga dikenali sebagai Ku Li juga merupakan agen pendamai dalam kalangan pemimpin hari ini.

Ketika diwawancara sebuah program dalam talian anjuran akhbar MalaysiaGazette, beliau menyifatkan Ahli Parlimen Gua Musang itu sebagai 'dark horse' atau kuda hitam yang boleh menyelamatkan Malaysia.

"Dalam keadaan sekarang sebelum PRU15, Malaysia memerlukan pemimpin yang sudah masak dengan sepak terajang politik.

"Selain itu, pemimpin itu juga mampu bertahan dengan pelbagai tekanan."

Pemimpin Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Syed Hassan Syed Ali turut menamakan Tengku Razaleigh sebagai satu-satunya tokoh yang layak memacu Malaysia.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa itu melalui sebuah hantaran di Facebook turut menambah bahawa Tengku Razaleigh juga satu-satunya tokoh yang dihormati semua Ahli Dewan Rakyat.

"Untuk kebaikan negara seorang tokoh yang selayaknya memacu Malaysia sehingga PRU15 dan sepenggal lagi selepas itu, yang pasti dihormati semua MP, seorang sahaja iaitu Yang Berhormat Mulia Tengku Razaliegh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang yang punya pengalaman luas membangunkan negara ini berbanding dengan pemimpin lain."

Menurut Syed Hassan lagi, hanya seorang sahaja yang layak menjawat jawatan tersebut.

Tangkapan layar hantaran Syed Hassan Syed Ali hari ini.

Sementara itu, Pensyarah Sains Politik Pusat Pengajian Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia (USM), Ahmad Fauzi Abdul Hamid juga menyifatkan veteran UMNO tersebut sebagai pilihan tepat bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

"Bagi saya Ku Li (ialah) calon tepat kerana kepimpinan beliau dalam UMNO selama ini telah terbukti. Beliau juga dikenali ramai terutamanya di peringkat antarabangsa setaraf bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Paling penting, beliau juga dihormati oleh semua parti termasuk DAP dan PKR kerana kewibawaan beliau dalam politik selama ini. Ku Li juga di dalam UMNO adalah individu paling bersih tidak seperti Ahli Parlimen yang lain."

Untuk rekod, Tengku Razaleigh pernah memegang jawatan Pengerusi Asian Development Bank pada 1976, Pengerusi International Bank for Reconstruction and Development (World Bank) pada 1977 dan Pengerusi Islamic Development Bank (Arab Saudi) pada 1978.

Jasa besar Tengku kepada Malaysia begitu besar. Beliau digelar "Putera Minyak Negara" dan merupakan mengasas PETRONAS. Tengku dilantik menjadi Pengerusi dan Ketua Eksekutif pertama PETRONAS.

Tengku juga telah menjadi Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) yang pertama dan pernah memegang jawatan Presiden bagi Malaysian Chamber of Commerce and Industry dan ASEAN Chamber of Commerce and Industry.

Tengku juga telah mengetuai delegasi perdagangan pertama Malaysia ke China pada tahun 1971, yang telah merealisasikan gencatan senjata ke atas Parti Komunis Malaya, yang mana membawa pertumbuhan besar kepada ekonomi negara.


This free site is ad-supported. Learn more