Ekoran apa yang terjadi hari ini, ramai yang cuba meramal serta memberi pendapat tentang apa yang bakal berlaku seterusnya. Saya menganggap perkara ini sangat teknikal serta menjadi satu krisis perlembagaan yang belum pernah terjadi, kerana ia dilihat sebagai penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, apabila kuasa Baginda seolah-olah dicabar.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin boleh memohon mengadap Yang di-Pertuan Agong, bagi memohon ampun, memohon perkenan bagi pembatalan Ordinan Darurat, atau meletak jawatan.

Memetik laporan The Malaysian Insight, beliau berkata kerajaan telah membuat satu kesilapan besar dalam mengumumkan pembatalan keenam-enam Ordinan Daruat tanpa memohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong terdahulu.

"Berdasarkan pada undang-undang, segala pembatalan mana-mana ordinan perlulah dilakukan oleh Agong. Sudah tentulah, Baginda bertindak atas nasihat (Perdana Menteri) namun Baginda hendaklah dirunding terdahulu dan perkenan Baginda hendaklah diperolehi terdahulu.

"Hal ini tidak dilakukan dengan sebetulnya,"

Menurut Apandi, kerajaan hanya mempunyai dua pilihan pada masa kini.

"Terdapat dua perkara yang mereka (kerjaaan) boleh lakukan sekarang. Perdana Menteri boleh memohon mengadap dan memohon ampun (daripada Baginda) dan memohon perkenan Baginda.

"Tindakan itu merupakan satu kesilapan, beliau (Perdana Menteri) telah melakukan satu kesilapan. Jika di negara Barat, beliau patut meletak jawatan, namun ini Malaysia."

Beliau mengatakan sedemikian berikutan kenyataan Istana Negara tengah hari tadi mengenai pembatalan Ordinan Darurat yang dilakukan tanpa restu Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Sila baca: Istana: Ordinan Darurat Dibatal Tanpa Perkenan Agong

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan persekutuan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan Baginda.

Sejurus kenyataan itu dikeluarkan, suasana Parlimen yang sedang bersidang menjadi kecoh apabila hal tersebut dibangkitkan seorang Ahli Parlimen.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon membuat keputusan menangguhkan Dewan Rakyat selama 15 minit, dan kemudiannya menempohkannya sehingga jam 1 petang.

Sila baca: Ekoran Kenyataan Istana, Dewan Ditempoh Hingga Jam 1

Terdapat ura-ura serta desakan untuk undi percaya atau undi tidak percaya diadakan di Dewan Rakyat petang ini, namun hal tersebut belum disahkan oleh mana-mana pihak.

Sila baca: Adakah Undi Percaya Bakal Diadakan di Dewan Rakyat Petang Ini?


This free site is ad-supported. Learn more